Set 2 Soalan 1
Sekolah kamu telah mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan. Ceritakan aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan tersebut.
Pada setiap tahun, sekolah saya akan mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan bermula dari 1 Ogos. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menerapkan semangat patriotik dalam kalangan murid-murid. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang bulan kemerdekaan.
Antaranya, termasuklah pertandingan mewarna untuk murid tahap satu dan pertandingan melukis poster untuk murid tahap dua. Untuk pertandingan melukis poster, setiap murid perlu melukis poster yang bertajuk “ Aku Anak Malaysia”. Pertandingan tersebut dijalankan di kelas masing-masing. Setiap guru kelas akan memilih tiga lukisan yang tercantik untuk diadili.
Selain itu, kami menghias sekolah dengan menggunakan Jalur Gemilang. Semua murid bekerjasama bagai aur dengan tebing. Kami berasa amat seronok apabila melihat sekolah kami menjadi lebih ceria apabila dihiasi dengan Jalur Gemilang dan panji-panji.
Di samping itu, pihak sekolah juga menganjurkan pertandingan deklamasi sajak. Pertandingan ini disertai oleh murid-murid tahap dua. Mereka mendeklamasikan sajak yang bertemakan semangat patriotik.
Sehari sebelum 31 Ogos, pihak sekolah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan di dewan sekolah. Guru-guru dan murid-murid menyanyikan lagu-lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Suasana semasa sambutan bulan kemerdekaan amat meriah sekali.
Pada hari penutupan bulan kemerdekaan, guru besar menyampaikan hadiah kepada para pemenang mengikut kategori pertandingan. Beliau mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Saya berasa sangat gembira kerana dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan melukis poster.
No comments:
Post a Comment