Search This Blog

Karangan Set 5 Soalan 1

Set 5 Soalan 1


Sukan  membentuk semangat waja,
Sentiasa ceria sepanjang masa.


Mari sertai sukan sekolah,
Masa terisi dengan aktiviti berfaedah.


Pantun di atas menggambarkan kebaikan bersukan. Terdapat pelbagai kebaikan apabila kita bersukan. Berdasarkan pantun tersebut, tulis karangan tentang kebaikan bersukan.


Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh. Antara aktiviti sukan termasuklah bermain bola sepak, badminton, berenang, berbasikal dan lain-lain. Banyak faedah bersukan kepada kita.
Antara faedah bersukan termasuklah dapat menyihatkan badan. Apabila bersukan, badan kita akan berpeluh. Melalui peluh, toksin-toksin dalam badan kita dapat dikeluarkan. Kita juga dapat mencegah penyakit yang berbahaya seperti sakit jantung dan darah tinggi jika kita bersukan.


Selain itu, bersukan juga dapat mencerdaskan otak. Kita akan mudah menerima apa-apa yang dipelajari di sekolah. Oleh itu, kita dapat meningkatkan prestasi dalam pelajaran. 


Seterusnya, apabila bersukan kita dapat mengisi masa lapang dengan bermanfaat. Oleh itu, kita dapat mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat beli-belah. Nama baik keluarga kita juga terjaga.


Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah dan ibu bapa. Sekiranya kita berbakat dalam sesuatu sukan, kita dapat menyertai pertandingan sukan yang diadakan di luar sekolah. Oleh itu, kita dapat mengharumkan nama sekolah dan ibu bapa apabila berjaya dalam sukan tersebut. 
Kesimpulannya, kita mestilah bergiat aktif dalam bidang sukan kerana banyak mendatangkan faedah.

No comments:

Post a Comment